Friday, May 15, 2009

Tugasan 1: Ulasan Buku Kajian Tindakan

Tajuk buku : All You Need to Know about Action Research
Pengarang : Jean McNiff dan Jack Whitehead
Penerbit : SAGE Publications

Tahun terbitan : 2006


A. Konsep Kajian Tindakan

  • Menurut buku ini, kajian tindakan ialah satu bentuk inkuiri yang membolehkan pengkaji mengkaji dan menilai amalannya sama ada perkara yang dilakukannya itu perlu ditambahbaik atau tidak. Sekiranya perlu ditambahbaik, proses ini akan berlaku dalam satu kitaran (atau lebih) bermula dengan memerhati, mereflek, bertindak, menilai dan mengubahsuai, dan kitaran ini bergerak ke arah yang baru.
  • Proses ini berlaku secara berterusan sehingga mencapai satu peringkat yang dianggap terbaik dan mencapai kepuasan. Namun begitu, sekiranya terdapat satu isu atau persoalan yang perlu diselesaikan, kitaran ini akan berulang lagi.
  • Kajian tindakan dilakukan dengan melibatkan diri penyelidik (insider researcher) di mana penyelidik itu melihat diri sendiri sebagai sebahagian daripada situasi yang dikaji. Persoalan yang sering diutarakan ialah 'Adakah cara ini sesuai? Bagaimana untuk menambahbaik agar memenuhi matlamat seperti yang dikehendaki?' dan sebagainya.
  • Dalam blog ini, kita hanya fokus kepada kajian tindakan yang dilakukan dalam pendidikan di mana bertumpu kepada penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kajian tindakan berlainan dengan kajian sains sosial (seperti eksperimental, kajian kes, etnografi dll) dari segi:

  1. Penggunaan 'saya' dalam kajian (melibatkan pengkaji itu sendiri)
  2. Fokuskan kepada 'bagaimana' cara untuk menambahbaik sesuatu amalan

Kajian sains sosial lebih menumpukan kepada perkaitan antara sebab dan akibat (melibatkan perbandingan dan kolerasi statistik). Penyelidik tidak melibatkan dirinya sebagai sampel dalam kajian, dan bertindak hanya sebagai penyelidik sahaja (outsider researcher).

B. Sebab-sebab Perlu Membuat Kajian Tindakan

Penyelidik memfokuskan kepada 2 elemen utama dalam kajian tindakan iaitu membina amalan dan teori yang baru. Seorang guru perlu membuat kajian tindakan bagi mengkaji dan memilih strategi yang terbaik untuk:

  • Meningkatkan kefahaman anda
  • Membina dan membentuk pembelajaran anda
  • Mempengaruhi pembelajaran orang lain

C. Reka Bentuk Kajian Tindakan

  • Model

Buku ini menggunakan model yang dipanggil Tindakan-Refleksi (action-reflection) di mana melibatkan kitaran proses seperti 'memerhati - mereflek - bertindak - menilai - mengubahsuai, kemudian kitaran ini bergerak ke satu (atau lebih) arah yang baru. Proses ini berlaku secara berterusan. Namun begitu, walaupun kita mencapai satu tahap di mana kita berasa apa yang lakukan itu satu kepuasan, tahap itu akan membentuk satu masalah/persoalan lain pula,dan seterusnya kitaran tersebut akan bermula lagi.

Dalam buku ini turut memberi contoh model Elliot (1991) sebagai model yang bagus untuk digunakan dalam literatur. Saya memberi contoh model Elliot (1991) yang diambil daripada website: www.iier.org.au/qjer/qr8/howden.html


  • Sampel

Penulis buku ini menekankan diri sendiri sebagai sampel kajian (kajian tindakan ialah mengkaji diri sendiri bukannya orang lain). Namun begitu, berdasarkan hampir kesemua contoh-contoh kajian tindakan dalam kelas yang diberikan dalam buku ini, murid-murid dalam kelas juga turut dijadikan peserta kajian (membantu diri pengkaji dalam kelas).


  • Setting Kajian

Penulis banyak memberi contoh kajian tindakan yang berkisar dalam bilik darjah.

D. Prosedur Kajian Tindakan

Sebelum melakukan kajian tindakan, penulis menekankan banyak perkara yang perlu diambil berat. Antaranya ialah:

I) Aspek-aspek praktikal

  • Mengenalpasti persoalan atau isu yang perlu diambil berat
  • Sebab-sebab persoalan itu perlu diambil berat
  • Pengalaman: Menunjukkan sebab isu itu perlu diambil berat
  • Apa yang perlu anda lakukan
  • Jenis data yang akan dikumpulkan
  • Cara anda jelaskan pengaruh dalam pembelajaran
  • Cara anda akan memastikan kesimpulan nanti adalah bersesuaian dan tepat
  • Cara anda menilai kesahan terhadap kajian itu
  • Cara anda mengubahsuai idea dan amalan setelah anda menilainya

II) Sumber

  • 1. Masa

Masa yang diperlukan untuk membuat kajian perlu ditentukan betul-betul di mana anda perlu mengumpul maklumat, membuat sedikit bacaan, berjumpa dengan orang dan menulis laporan. Namun begitu, anda perlu bersedia sekiranya masa yang diambil mungkin melebihi masa yang yang telah ditentukan. Ini kerana anda perlu berhadapan dengan pelbagai situasi atau kekangan seperti ada aktiviti sekolah yang mengambil masa kelas anda ataupun disebabkan masalah kesihatan yang memerlukan anda terpaksa tunda ke hari lain. Anda juga perlu bersedia sekiranya sesetengah projek mungkin mengambil sedikit masa peribadi anda.

  • 2. Peralatan/Bahan

Projek yang besar, memerlukan bahan dan peralatan yang banyak. Ini bermakna memerlukan kos yang banyak. Oleh itu, anda perlu merancang bajet anda dengan betul.

  • 3. Orang yang terlibat

a) Peserta kajian / sampel

Siapakah yang akan terlibat dalam kajian anda?

b) Rakan / penilai yang kritikal

Rakan ini akan memberi komen yang kritikal kepada anda.

c) Kumpulan pengesah

Kumpulan ini digalakkan dari luar bidang atau lingkungan anda yang dijemput untuk mengesahkan kajian anda.

d) Pemerhati yang berminat

Pemerhati ini sama ada pemerhati dalam atau dari luar bidang anda yang berminat dengan kajian anda serta boleh memberi kritikan ilmiah kepada anda.

III) Implementasi kajian tindakan

Dalam buku ini, persoalan-persoalan berikut perlu dicatat (sebagai workplace report) semasa menjalankan kajian tindakan.

  • Tajuk/Soalan Kajian (research question)
  • Pengenalan / Konteks saya
  • Apakah isu yang saya ambil berat?
  • Mengapa saya mengambil berat tentang isu tersebut?
  • Bagaimana saya menambahbaik situasi yang sedia ada?
  • Siapa yang terlibat dalam kajian saya? Bagaimana mereka boleh membantu saya?
  • Apa yang telah saya pelajari?
  • Kesimpulan

IV) Penulisan laporan literatur

Dalam penulisan literatur, perkara-perkara berikut perlu ada:

  1. Abstrak
  2. Pengenalan
  3. Latar belakang kajian
  4. Konteks kajian
  5. Metodologi
  6. Pengumpulan dan penganalisisan data
  7. Hasil kajian dan signifikan
  8. Implikasi
  9. Kesimpulan

E. Pengumpulan dan Penganalisisan Data

  • Instrumen Kajian dan Teknik Pengumpulan Data

Sebelum mengumpul data, pengkaji perlu mengetahui....

  1. Apakah data yang perlu dikumpul berdasarkan soalan kajiannya.
  2. Sumber yang sesuai untuk pengumpulan data. Contohnya melalui hasil kerja dan pencapaian pelajar dalam ujian.
  3. Cara memantau amalan pengkaji mengikut masa (yang sesuai)

Setelah melakukan perkara di atas, pengkaji perlulah tahu cara mengumpul data yang dikehendaki.

Berikut adalah beberapa instrumen untuk pengumpulan data bagi tujuan merekod tindakan pengkaji...

  1. Nota lapangan - mencatat tindakan yang dilakukan dalam bentuk nota biasa, peta minda atau diagram.
  2. Lembaran rekod dan jadual pemantauan
  3. Analisis Sosiometrik

Berikut adalah beberapa instrumen untuk pengumpulan data bagi tujuan merekod pembelajaran...

  1. Penulisan akaun (written account) - contoh yang diberi dalam buku ini merupakan penulisan dalam bentuk prosa atau puisi.
  2. Diari dan buku log
  3. Borang soal selidik
  4. Tinjauan dan temubual

Pada pendapat saya, pengkaji perlu rancang masa yang mencukupi untuk pengumpulan data agar data yang dikumpul itu sesuai untuk tujuan kajian (tidak kurang atau tidak berlebihan). Selain itu, pengkaji boleh mengumpul data bukan sahaja dalam kelas, tetapi boleh juga di luar waktu P&P (seperti di taman atau di kantin). Pengkaji juga boleh mencatat refleksi di mana-mana sahaja pengkaji pergi asalkan pengkaji itu membawa buku catatan bersama. Setelah mengumpul data, pengkaji boleh menyimpan data dalam bentuk softcopy dan hardcopy. Pengkaji digalakkan menyimpan lebih daripada satu salinan sebagai backup.

  • Teknik Penganalisisan Data

Data kuantitatif boleh dianalisis dengan pelbagai perisian seperti MS Excel. Namun begitu, penganalisisan data kualitatif memerlukan masa yang lama dan penglibatan orang lain (bagi mengelakkan berlakunya bias kerana kajian tindakan adalah kajian tentang diri sendiri).

F. Etika Kajian Tindakan

Dalam buku ini, isu yang berkaitan dengan etika perlu dititikberatkan. Ini kerana kajian tindakan melibatkan orang (walaupun kajian tentang diri sendiri, tetapi juga terdapat penglibatan pelajar sekolah dan penilai/pengkritik luar). Kajian tindakan yang dilaksanakan secara besar-besaran dan memerlukan penglibatan pelajar, kebenaran daripada penjaga perlu diperoleh. Bukan itu sahaja, kebenaran daripada pihak sekolah dan jabatan tertentu juga perlu diperoleh sebelum membuat kajian.

G. Kebolehpercayaan dan Kesahan Kajian Tindakan

Dalam buku ini, kesahan boleh diperolehi melalui kritikan atau komen daripada orang lain seperti:

  1. Penyelia - Seorang penyelia yang boleh bertindak dengan memberi kritikan membina (secara ilmiah) bagi tujuan pembangunan profesionalisme pengkaji. Lazimnya, penyelia adalah pengetua sekolah tersebut (untuk guru tetap) ataupun pensyarah dari Fakulti Pendidikan (untuk guru pelatih).
  2. Rakan/ penilai yang kritikal - Pengkaji juga boleh mendapatkan kritikan ilmiah daripada rakan-rakan yang boleh terdiri daripada orang perseorangan atau kumpulan. Pengkaji perlu memberi penjelasan mengenai kajiannya kepada rakan-rakan dan mendapatkan kerjasama daripada mereka setiap kali perjumpaan. Rekod mengenai ringkasan/hasil perjumpaan perlu diletakkan tarikh, ditandatangani dan disimpan. Rakan-rakan tersebut juga perlu diberi salinan rekod tersebut sebagai bahan bukti dan rujukan.
  3. Kumpulan pengesah - Kumpulan pengesah boleh terdiri daripada 3 hingga 10 orang bergantung kepada saiz projek pengkaji. Semakin besar projek pengkaji, maka semakin ramai ahli kumpulan pengesah ini diperlukan. Rakan kritikal juga boleh dijemput menjadi ahli kumpulan ini. Namun, pengkaji digalakkan untuk mendapatkan bantuan pengesah di luar daripada lingkungan profesional sendiri yang boleh mengkritik secara ilmiah. Contohnya, mungkin pengkaji menjemput individu daripada jabatan/bidang yang berbeza, pemerhati luar yang berminat dengan kajian anda (NGO) atau komuniti perniagaan.

H. Penilaian Keseluruhan

  • Buku ini menerangkan maksud kajian tindakan secara umum. Selain bidang pendidikan, buku ini juga boleh digunakan untuk bidang sains sosial, pengajian perniagaan dan sebagainya.
  • Terdapat banyak contoh kajian tindakan dalam bilik darjah ditulis dalam buku ini. Buku ini memang sesuai dijadikan rujukan kepada pengkaji yang ingin membuat kajian tindakan terutamanya kepada guru.
  • Namun begitu, terdapat satu contoh model sahaja yang dipaparkan. Itupun tiada rujukan model tersebut adalah kepunyaan siapa. Lagi satu contoh model hanya diberitahu sahaja (model Elliot, 1991) tanpa dipaparkan.


1 comment:

  1. SELAMAT HARI GURU
    Selamat ber-Kajian Tindakan
    Selamat ber-Seminar

    ReplyDelete