Monday, May 11, 2009

Refleksi dan Pelan Tindakan BIG II

REFLEKSI

A. Masalah / Kelemahan
  • Saya telah mengalami kecuaian di mana saya telah ketinggalan beberapa barangan yang penting seperti buku modul BIG dan ubat resdung. Terdapat juga beberapa barangan telah tercicir semasa menjalankan aktiviti BIG seperti pen, wisel dan buku nota.
  • Semasa di kem BIG, saya menjadi seorang yang agak lambat dan kurang menepati masa. Walhal, aktiviti sebelum ini (aktiviti semasa sekolah dan degree dahulu) saya dapat bergerak pantas dan menepati masa.
  • Saya mengalami kekurangan stamina ketika mendaki bukit semasa aktiviti Jungle Tracking.
  • Saya mempunyai rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi.
  • Saya juga mempunyai sifat yang agak kelam-kabut.


B. Penambahbaikan

  • Saya perlu berhati-hati ketika menguruskan barangan saya.
  • Saya juga perlu menguruskan masa dengan betul dan bergerak pantas ketika membuat sesuatu perkara.
  • Saya perlu membuat persediaan dari segi fizikal terutamanya menguatkan stamina pada kaki.
  • Saya juga perlu menghilangkan atau mengurangkan rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi.
  • Saya perlu mengawal sifat kelam-kabut saya agar apa yang saya lakukan itu kelihatan terurus.


PELAN TINDAKAN

A. Matlamat

Membina sahsiah dan etika keguruan di mana kesepaduan unsur jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dapat diwujudkan .

B. Objektif

  • Menguruskan barangan dan keperluan dengan baik
  • Menguruskan masa dengan betul dan teratur
  • Membuat persediaan fizikal sebelum ke mana-mana program atau aktiviti terutamanya aktiviti yang lasak
  • Meningkatkan keyakinan diri dan menghilangkan rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi
  • Memupuk sifat sabar dan tenang dalam diri


C. Langkah-langkah

  • Saya telah menyenaraikan dengan lengkap barang-barang yang perlu dibawa. Akan tetapi, saya hanya menyemak sekali sahaja. Oleh itu, sebagai strategi bagi mengatasi masalah ini, saya perlu menyemak berulang kali agar tiada barangan yang tertinggal. Saya juga perlu lebih berhati-hati dan menjaga barangan saya dengan baik agar tidak tercicir lagi. Sikap cuai ini perlu dikikis dalam diri saya.
  • Saya juga perlu sentiasa memakai jam agar saya dapat bergerak pantas dan menepati masa. Semasa BIG, saya jarang memakai jam kerana dikhuatiri jam rosak. Akibatnya, banyak perkara saya kelewatan.
  • Saya perlu berjoging sekeliling kolej Zaaba sebelum pergi BIG lagi agar stamina dapat dipertingkatkan. Selepas BIG ini, saya kerap berjalan kaki ke fakulti sebagai senaman pagi.
  • Saya telah menawarkan diri sebagai peserta pertama dalam aktiviti abseiling bagi menghilangkan rasa gayat. Bagi saya, lagi lama di puncak bukit itu, lagi berdebar dan rasa takut itu semakin memuncak. Namun, saya tetap yakin dengan pensyarah dan tali yang mengawal saya semasa turun dari atas bukit itu.
  • Saya perlu menenangkan diri sebelum melakukan sesuatu perkara. Saya juga merancang betul-betul dan tidak bertangguh kerja agar tidak kelam-kabut kelak.

D. Pengumpulan Data

  • Komen dan pendapat daripada kawan rapat, kawan sebilik dan ahli keluarga
  • Ujian personaliti
  • Kajian perpustakaan – membaca buku motivasi

E. Pemantauan

  • Meminta teman rapat, kawan-kawan dan kawan sebilik memantau perkembangan diri saya
  • Sentiasa membuat peringatan dan dilekatkan di board dalam bilik
  • Sentiasa membuat muhasabah diri sebelum tidur agar mengenalpasti sama ada terdapat perubahan sikap pada diri atau tidak


F. Penilaian

  • Meminta teman rapat, kawan-kawan dan kawan sebilik memberi komen dan penilaian selepas sebulan artikel ini ditulis
  • Penilaian sekali lagi dibuat selepas setiap satu bulan bagi memastikan berlakunya perubahan dan pengukuhan tingkah laku
  • Melihat sama ada berlaku peningkatan tingkah laku ke arah lebih baik semasa melakukan aktiviti seterusnya seperti RDK, Perkhemahan Agung Sukres dan Kem Bina Negara

KESEPADUAN UNSUR JERIS

1. Jasmani

Banyak aktiviti dalam BIG ini memerlukan pergerakan yang agak mencabar seperti mendaki dan menuruni bukit yang agak curam, berkayak sampai ke pulau, berenang snorkeling sambil melihat ikan-ikan, dan berjalan kaki semasa explorasi. Sebelum memulakan sebarang aktiviti, kami semua ada membuat senaman memanaskan badan (stretching) dan menyejukkan badan (cooling down) selepas membuat aktiviti bagi mengelakkan kecederaan pada otot. Aktiviti-aktiviti seumpama ini mengeluarkan banyak peluh dan seterusnya dapat menyihatkan badan.

2. Emosi

Banyak aktiviti yang dibuat agak meletihkan walaupun aktiviti itu hanyalah Pengurusan Tapak Khemah (Camp Site Management). Keadaan letih selalunya emosi akan terganggu dan menjadi kurang sabar. Saya berasa sangat letih dan agak tertekan kerana fasilitator yang mengiringi kami, memanjat bukit agak laju berbanding dengan kami yang tercungap-cungap kekurangan oksigen. Begitu juga melihat kawan-kawan yang mempunyai kekuatan tangan dan stamina yang tinggi ketika berkayak. Namun begitu, saya berjaya mengawal emosi kami dan melakukan semua aktiviti dengan penuh kesabaran.

3. Rohani

Semua aktiviti memupuk semangat kerjasama dan kekitaan antara satu sama lain. Keletihan saya hilang apabila melihat ikan berenang-renang semasa snorkeling serta keindahan flora dan fauna yang terdapat di Pangkor. Saya berasa kagum dan penuh kesyukuran dan keinsafan melihat alam ciptaan Allah S.W.T. Selain itu, semasa aktiviti Night Camp membuktikan lagi kekuasaan Allah melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Segala godaan syaitan dan iblis ditepis dengan bacaan ayat Kursi dan pelbagai surah dalam Al-Quran. Aktiviti seumpama ini menguatkan lagi kepercayaan dan keimanan kepada Allah.

4. Intelek

Aktiviti-aktiviti BIG juga mengajar saya berfikiran kritis dan kreatif dalam penyelesaian pelbagai masalah. Untuk membentuk individu yang berfikiran kritis dalam diri saya, saya telah merancang pelbagai strategi bagi melicinkan pengurusan masa dan pengurusan aktiviti sepanjang BIG lalu. Kekreatifan dalam diri saya juga dapat dipertingkatkan terutama semasa LDK dan Night Camp (membuat kraftangan daripada daun).

5. Sosial

Aktiviti-aktiviti BIG ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi interpersonal, bahkan juga mewujudkan lagi kemesraan antara satu sama lain. Walaupun saya agak rapat dengan ahli-ahli kumpulan yang lain namun pergaulan kami ini masih tidak melanggari batasan agama.


KESIMPULAN

Dengan penuh kesyukuran kepada Allah, tidak terdapat kesilapan dan masalah yang serius. Berkat pertolongan para pensyarah dan rakan-rakan BIG B yang lain membuatkan pengurusan jawatankuasa ini berjalan lancar. Jutaan penghargaan kepada semua atas penganugerahan Peserta Terbaik BIG (perempuan) kepada saya. Sesungguhnya semua ini memberi pengalaman yang amat berharga kepada saya. Segala kesilapan dan masalah yang telah berlaku menjadi pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati kelak

No comments:

Post a Comment