Sunday, May 24, 2009

Tugasan 2: Ulasan Analisis Artikel Jurnal

Artikel Jurnal

  1. Action Research for Quality Development in Rural Education in Scotland oleh Judith W. George
  2. How Action Research Can Complement Formal Language Teacher Education oleh Anita Y. K. Poon
  3. Transformation of Teacher Attitude and Approach to Math Instruction through Collaborative Action Research oleh Patricia J. Bonner
A. Perbandingan
  1. Kesemua artikel jurnal di atas menekankan kepada pembangunan keprofessionalisme pendidik. Namun begitu, perbezaannya dari segi lokasi (tempat) dan bidang masing-masing.
  2. Artikel yang pertama berlokasikan di Scotland, artikel yang ke-2 berlokasikan di Hong Kong manakala lokasi untuk artikel yang ketiga ialah di Amerika Syarikat. Walaupun berlainan lokasi, pada pendapat saya, artikel ini boleh dijadikan rujukan untuk meningkatkan tahap keprofesionalisme pendidik di Malaysia.
  3. Artikel pertama menekankan pembangunan kualiti pendidik secara umum manakala kedua-dua artikel lagi memfokuskan kepada bidang atau mata pelajaran tertentu. Artikel ke-2 memfokuskan kepada bidang Bahasa Inggeris manakala artikel ke-3 memfokuskan kepada pembangunan strategi P & P dalam Matematik. Pada pendapat saya, walaupun artikel ke-2 dan ke-3 berlainan bidang namun ia saling berkaitan kerana P & P bidang Matematik adalah dalam bahasa Inggeris (terutama di Malaysia).
  4. Ketiga-tiga artikel didapati menggunakan teknik temubual dalam pengumpulan data.
  5. Kajian tindakan dalam ketiga-tiga artikel ini dijalankan oleh guru/tutor institusi pendidikan bukannya penulis artikel ini. Penulis artikel ini lebih bertindak sebagai pengkaji keberkesanan/penilai.

B. Penganalisisan Artikel Jurnal

1. Artikel jurnal 1

  • I) Masalah, sampel dan setting kajian.
  1. Kajian tindakan yang dibuat dalam artikel ini memfokuskan kepada tutor-tutor yang mengajar di kawasan kampung dan pedalaman Scotland di mana mereka perlu membuat perubahan dalam P&P mereka untuk memajukan pelajar-pelajar di kawasan tersebut. Masalah utama tutor-tutor ini ialah mereka berasa 'terasing' dengan orang lain kerana mereka ditempatkan di kawasan pedalaman. Oleh itu, mereka tidak dapat mempamerkan hasil kerja yang memuaskan. Lantaran itu, pencapaian para pelajar di kawasan pedalaman kurang menyerlah.
  2. Kajian ini memfokuskan kepada tiga domain iaitu kurikulum, staf dan arahan. Domain-domain ini bergabung bagi membentuk satu misi pembangunan dan kemajuan pendidikan di kawasan pedalaman.
  • III) Prosedur
  1. Para peserta kajian membina "toolkit of simple evaluation" yang boleh digunakan oleh tutor-tutor yang melibatkan penggunaan peta minda, dynamic list yang telah direka bentuk untuk digunakan semasa tutorial/bengkel serta adaptasi daripada Kagan's Interpersonal Process Recall technique (Kagan, 1975).
  2. Penggunaan pelbagai media (konferen menggunakan komputer, papan putih berelektronik dan faks-telefon tuisyen)
  3. Tiga teknik/strategi ini difokuskan dalam kajian tindakan sebagai langkah untuk menambahbaik P&P di kawasan luar bandar - Correspondence Tuition, Telephone Tuition dan Transferable Skills Development in Science.
  • IV) Pengumpulan Data
  1. Borang soal selidik
  2. Temubual dengan para pelajar
  3. Refleksi tutor-tutor setelah menjalankan kajian tindakan

2. Artikel Jurnal 2

  • I) Masalah, sampel dan setting kajian
  1. Masalah yang berlaku dalam artikel ini ialah berkisar tentang masalah kekurangan guru-guru Bahasa Inggeris yang benar-benar berkelayakan di Hong Kong (English major). Tahap penguasaan guru-guru yang ada (yang dikehendaki mengajar Bahasa Inggeris walaupun bukan bidangnya) masih kurang memuaskan. Di Hong Kong, individu yang mempunyai degree diserapkan ke dalam bidang pendidikan untuk menjadi guru sekolah rendah dan menengah walaupun tidak mendapat latihan perguruan yang mempunyai spesifik subjek. Lantaran itu, standard Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Hong Kong telah menurun. Selain itu, faktor penurunan standard ini adalah disebabkan oleh pendidikan wajib selama 9 tahun (compulsory), bilangan pelajar terlalu ramai dalam kelas dan ketidaksesuaian cara P&P dalam kelas Bahasa Inggeris.
  2. Sampel dalam kajian ini ialah tiga orang guru Bahasa Inggeris yang bukan opsyen dalam bidang tersebut. Kajian ini ingin melihat bagaimana ketiga-tiga guru ini (sekolah rendah) berubah menjadi professional (secara beransur-ansur) serta dapat mengubahsuai metodologi yang digunakan dalam P&P subjek Bahasa Inggeris melalui kajian tindakan.
  3. Soalan kajian dalam artikel ini: How can we support the professional development of English teachers with no subject-specific training apart from the formal channel of pursuing a Diploma/Postgraduate Diploma in Education?
  • II) Prosedur

Intervensi dilakukan dengan menggantikan kelas Bahasa Inggeris secara tradisional (P&P satu hala dan berpandukan buku teks) dengan cara baru iaitu cara 'integratif-narratif'. Cara ini menggunakan cerita kanak-kanak sebagai bahan bantu mengajar (cara ini sangat menarik dan dapat memotivasikan pelajar). Pelbagai kemahiran boleh diintegrasikan dalam P&P seperti kemahiran mendengar, membaca dan menulis bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar. Pita audio dan CD/VCD turut disertakan sekali dengan panduan menggunakannya.

  • III) Pengumpulan data
  1. Pra-temubual dengan guru - latar belakang guru, pengalaman mengajar Bahasa Inggeris, cara yang digunakan dalam P&P
  2. Post-temubual dengan guru - Pengalaman guru setelah mencuba cara 'integratif-narratif' dalam P&P
  3. Pra-temubual dengan 3 orang pelajar (pencapaian rendah, sederhana dan cemerlang)
  4. Post-temubual dengan 3 orang pelajar (pencapaian rendah, sederhana dan cemerlang)
  5. Pemerhatian semasa guru sedang mengajar
  6. Perbincangan bersama guru (Pra- dan post-lesson) - bagaimana cara 'integratif-narratif' ini dilaksanakan dalam kelas dan bagaimana untuk meningkatkan penggunaannya
  7. Jurnal guru - Refleksi guru terhadap implementasi cara 'integratif-narratif' dalam P&P dan tindak balas daripada pelajar.
  • IV) Penganalisisan Data
  1. Teknik/strategi analitikal (membanding bezakan, aggregasi dan analisis isi kandungan)
  2. Triangulasi digunakan untuk memeriksa dan memastikan data tersebut mempunyai kredibiliti, kebolehgantungan (dependability) dan kebolehpastian (confirmability).

3. Artikel Jurnal 3

  • I) Masalah kajian, sampel dan setting

Masalah yang berlaku di sini ialah kurangnya penguasaan Matematik dalam kalangan pelajar di US. Oleh itu kajian tindakan ini dijalankan secara kolaboratif bagi menambahbaik P&P dua orang guru yang mengajar Matematik di Gred 5 di sekolah pinggir bandar di Los Angeles. Salah seorang guru menyatakan bahawa beliau kurang keyakinan terhadap pengetahuan beliau dalam Matematik.

  • III) Prosedur

Pengkaji telah membuat 15 kali perjumpaan dengan guru-guru tersebut. Antara perkara yang dibincangkan ialah:

  1. Perbincangan tentang masalah penguasaan Matematik
  2. Analisis keputusan ujian Matematik - pencapaian rendah membuktikan kurangnya penguasaan pelajar dalam Matematik
  3. Tinjauan literatur / artikel berkaitan dengan pedagogi - pengkaji menyuruh kedua guru membaca dan menganalisis beberapa artikel tentang pedagogi dan pelbagai pendekatan dalam P&P subjek Matematik.
  4. Tinjauan beberapa strategi P&P untuk Matematik dalam artikel Educating Everybody's Children
  5. Tinjauan artikel mengenai kajian tindakan
  6. Pengumpulan data dan refleksi
  7. Rekod komen dan tindak balas daripada pelajar
  • IV) Pengumpulan data
  1. Temubual dengan guru (dalam bulan Jun) - soalan berkaitan persepsi mereka tentang kajian tindakan dan cara pembelajaran mereka
  2. Temubual dengan pelajar
  3. Jurnal dan refleksi guru
  4. Jurnal pelajar
  5. Rekod perjumpaan 15 kali dengan guru-guru
  6. Nota lapangan pengkaji - pemantauan kelas semasa P&P
  7. Kajian kes yang ditulis oleh guru-guru tersebut semasa simposium peringkat negeri
  8. School district proficiency assessment test - Mathematics Application Performance Assessment (MAPA)
  9. Temubual dengan guru-guru tersebut pada tahun berikutnya (untuk melihat kelancaran perlaksanaan kajian)

C. Penilaian

Pada pendapat saya, kajian tindakan yang dijalankan dalam artikel-artikel di atas perlu diikuti (follow-up) oleh pengkaji agar guru-guru tersebut melaksanakan strategi P&P yang telah disyorkan oleh pengkaji. Hanya kajian tindakan dalam artikel ke-3, pengkaji tersebut mengumpul data pada tahun berikutnya untuk melihat keberkesanan strategi yang digunakan (pengkaji sebagai penilai). Menurut Jean McNiff dalam bukunya iaitu All You Need to Know About Action Research, kesahan kajian juga boleh dibuat oleh individu lain agar kajian tersebut benar-benar sah. Ketiga-tiga artikel didapati kajian tindakan yang dijalankan telah dinilai dan dipantau oleh individu lain (penulis artikel tersebut) bukannya sampel (guru yang menjalankan kajian tindakan).

D. Perumusan

Ketiga-tiga artikel di atas boleh dijadikan rujukan untuk menambahbaik P&P dalam kelas terutamanya terhadap penguasaan Matematik dan Bahasa Inggeris. Ketiga-tiga artikel ini juga dapat membuktikan terdapat peningkatan prestasi dan pencapaian pelajar dalam subjek yang dikaji setelah melakukan kajian tindakan. Pelbagai strategi di atas boleh diaplikasikan di Malaysia.

E. Pensintesisan

Daripada ketiga-tiga artikel di atas, empat perkara berikut adalah idea-idea yang perlu dititikberatkan (boleh diaplikasikan dalam P&P dalam kelas) :

  1. Penggunaan ICT dalam P&P (komputer, pita audio, CD/VCD)
  2. Pembangunan modul-modul pembelajaran yang terkini dan sesuai dengan konteks budaya masyarakat setempat
  3. Strategi P&P yang menggunakan teknik penceritaan/situasi
  4. Menerapkan dan menggabungkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran mendengar, membaca dan melihat dalam P&P

Dengan menggabungkan idea-idea di atas, minat dan pencapaian pelajar dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris (terutamanya) boleh dipertingkatkan.

Tuesday, May 19, 2009

Seminar Pendidkan Serantau 2009 UKM-UNRI

Tempat: Klana Resort, Seremban, NS
Tema : Ke Arah Keunggulan Universiti Penyelidikan

Tarikh: 19-21 Mei 2009

Hari Pertama (19 Mei)...

Sesi perbentangan kertas kerja dan hasil penyelidikan pendidikan antara UKM dan UNRI berjalan dengan lancar. Di ballroom, terdapat 6 perbentangan pada waktu pagi (10.30 hingga 12.30 tegahari) dan 3 perbentangan pada waktu petang selepas majlis perasmian.Walaupun ballroom sangat sejuk (sehingga menyebabkan ada yang tertidur) namun, pelajar DPLI tetap berusaha mendengar dan mencatat isi kandungan perbentangan. Setakat ini, saya masih belum menjalankan tugas sebagai pencatat (entah bila...)
Majlis perasmian bermula pada pukul 2.15 ptg dan dilaksanakan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin. Tahniah diucapkan kepada para pensyarah UKM atas kejayaan mereka dalam penyelidikan masing-masing sehingga mendapat pingat gangsa, perak dan emas.

Hari Kedua (20 Mei)...

LAPORAN PENCATAT SESI PEMBENTANGAN 4A4

  • TAJUK PEMBENTANGAN: Pembelajaran Kooperatif Teknik Berkirim Salam dan Soal untuk meningkatkan Hasil Belajar Matematika Siswa Kelas VIII SMP Negeri Tualang
  • NAMA PEMBENTANG: Titi Solfitri, Armis, Diana Rita
  • TEMA: Kepelbagaian Kaedah dalam Penyelidikan Pendidikan
  • TARIKH/ HARI: 20/5/2009 , Rabu
  • MASA: 3.00-3.20
  • BILIK/TEMPAT: Ballroom
  • PENGERUSI: Dr. Norazah

INTISARI PEMBENTANGAN:

  • Pembelajaran kooperatif teknik berkirim salam dan soal terbukti dapat meningkatkan hasil pembelajaran pelajar dalam Matematik dengan melihat peningkatan prestasi pelajar dalam ujian Matematik dan interaksi guru-pelajar dalam kelas.
  • Kriteria Ketuntasan Minimum (KKM) digunakan sebagai standard untuk mengukur skor pelajar dalam ujian di mana pelajar yang memperoleh skor 65 dan lebih dikatakan mencapai KKM.
  • Penyelidik ini menggunakan dua kitaran (satu kitaran mengandungi tiga kali pertemuan) dan dua kali ujian Matematik.

INTISARI PERBINCANGAN (SOAL-JAWAB)
(Soalan ini ditanya secara peribadi bukan semasa perbentangan)

  • Soalan: Boleh Ibu Titi terangkan apa itu KKM?
  • Jawapan: Kriteria Ketuntasan Minimum atau KKM adalah standard yang digunakan untuk mengukur prestasi pelajar dalam mata pelajaran tertentu. Standard ini digunakan secara menyeluruh di Indonesia dalam setiap ujian atau peperiksaan besar.

CADANGAN:

  • Handout yang digunakan untuk mencatat pemerhatian perlu mengandungi indikator yang sah (valid) dan tepat.
  • Puan Titi menggalakkan teknik ini diaplikasikan di Malaysia.

Friday, May 15, 2009

Tugasan 1: Ulasan Buku Kajian Tindakan

Tajuk buku : All You Need to Know about Action Research
Pengarang : Jean McNiff dan Jack Whitehead
Penerbit : SAGE Publications

Tahun terbitan : 2006


A. Konsep Kajian Tindakan

  • Menurut buku ini, kajian tindakan ialah satu bentuk inkuiri yang membolehkan pengkaji mengkaji dan menilai amalannya sama ada perkara yang dilakukannya itu perlu ditambahbaik atau tidak. Sekiranya perlu ditambahbaik, proses ini akan berlaku dalam satu kitaran (atau lebih) bermula dengan memerhati, mereflek, bertindak, menilai dan mengubahsuai, dan kitaran ini bergerak ke arah yang baru.
  • Proses ini berlaku secara berterusan sehingga mencapai satu peringkat yang dianggap terbaik dan mencapai kepuasan. Namun begitu, sekiranya terdapat satu isu atau persoalan yang perlu diselesaikan, kitaran ini akan berulang lagi.
  • Kajian tindakan dilakukan dengan melibatkan diri penyelidik (insider researcher) di mana penyelidik itu melihat diri sendiri sebagai sebahagian daripada situasi yang dikaji. Persoalan yang sering diutarakan ialah 'Adakah cara ini sesuai? Bagaimana untuk menambahbaik agar memenuhi matlamat seperti yang dikehendaki?' dan sebagainya.
  • Dalam blog ini, kita hanya fokus kepada kajian tindakan yang dilakukan dalam pendidikan di mana bertumpu kepada penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kajian tindakan berlainan dengan kajian sains sosial (seperti eksperimental, kajian kes, etnografi dll) dari segi:

  1. Penggunaan 'saya' dalam kajian (melibatkan pengkaji itu sendiri)
  2. Fokuskan kepada 'bagaimana' cara untuk menambahbaik sesuatu amalan

Kajian sains sosial lebih menumpukan kepada perkaitan antara sebab dan akibat (melibatkan perbandingan dan kolerasi statistik). Penyelidik tidak melibatkan dirinya sebagai sampel dalam kajian, dan bertindak hanya sebagai penyelidik sahaja (outsider researcher).

B. Sebab-sebab Perlu Membuat Kajian Tindakan

Penyelidik memfokuskan kepada 2 elemen utama dalam kajian tindakan iaitu membina amalan dan teori yang baru. Seorang guru perlu membuat kajian tindakan bagi mengkaji dan memilih strategi yang terbaik untuk:

  • Meningkatkan kefahaman anda
  • Membina dan membentuk pembelajaran anda
  • Mempengaruhi pembelajaran orang lain

C. Reka Bentuk Kajian Tindakan

  • Model

Buku ini menggunakan model yang dipanggil Tindakan-Refleksi (action-reflection) di mana melibatkan kitaran proses seperti 'memerhati - mereflek - bertindak - menilai - mengubahsuai, kemudian kitaran ini bergerak ke satu (atau lebih) arah yang baru. Proses ini berlaku secara berterusan. Namun begitu, walaupun kita mencapai satu tahap di mana kita berasa apa yang lakukan itu satu kepuasan, tahap itu akan membentuk satu masalah/persoalan lain pula,dan seterusnya kitaran tersebut akan bermula lagi.

Dalam buku ini turut memberi contoh model Elliot (1991) sebagai model yang bagus untuk digunakan dalam literatur. Saya memberi contoh model Elliot (1991) yang diambil daripada website: www.iier.org.au/qjer/qr8/howden.html


  • Sampel

Penulis buku ini menekankan diri sendiri sebagai sampel kajian (kajian tindakan ialah mengkaji diri sendiri bukannya orang lain). Namun begitu, berdasarkan hampir kesemua contoh-contoh kajian tindakan dalam kelas yang diberikan dalam buku ini, murid-murid dalam kelas juga turut dijadikan peserta kajian (membantu diri pengkaji dalam kelas).


  • Setting Kajian

Penulis banyak memberi contoh kajian tindakan yang berkisar dalam bilik darjah.

D. Prosedur Kajian Tindakan

Sebelum melakukan kajian tindakan, penulis menekankan banyak perkara yang perlu diambil berat. Antaranya ialah:

I) Aspek-aspek praktikal

  • Mengenalpasti persoalan atau isu yang perlu diambil berat
  • Sebab-sebab persoalan itu perlu diambil berat
  • Pengalaman: Menunjukkan sebab isu itu perlu diambil berat
  • Apa yang perlu anda lakukan
  • Jenis data yang akan dikumpulkan
  • Cara anda jelaskan pengaruh dalam pembelajaran
  • Cara anda akan memastikan kesimpulan nanti adalah bersesuaian dan tepat
  • Cara anda menilai kesahan terhadap kajian itu
  • Cara anda mengubahsuai idea dan amalan setelah anda menilainya

II) Sumber

  • 1. Masa

Masa yang diperlukan untuk membuat kajian perlu ditentukan betul-betul di mana anda perlu mengumpul maklumat, membuat sedikit bacaan, berjumpa dengan orang dan menulis laporan. Namun begitu, anda perlu bersedia sekiranya masa yang diambil mungkin melebihi masa yang yang telah ditentukan. Ini kerana anda perlu berhadapan dengan pelbagai situasi atau kekangan seperti ada aktiviti sekolah yang mengambil masa kelas anda ataupun disebabkan masalah kesihatan yang memerlukan anda terpaksa tunda ke hari lain. Anda juga perlu bersedia sekiranya sesetengah projek mungkin mengambil sedikit masa peribadi anda.

  • 2. Peralatan/Bahan

Projek yang besar, memerlukan bahan dan peralatan yang banyak. Ini bermakna memerlukan kos yang banyak. Oleh itu, anda perlu merancang bajet anda dengan betul.

  • 3. Orang yang terlibat

a) Peserta kajian / sampel

Siapakah yang akan terlibat dalam kajian anda?

b) Rakan / penilai yang kritikal

Rakan ini akan memberi komen yang kritikal kepada anda.

c) Kumpulan pengesah

Kumpulan ini digalakkan dari luar bidang atau lingkungan anda yang dijemput untuk mengesahkan kajian anda.

d) Pemerhati yang berminat

Pemerhati ini sama ada pemerhati dalam atau dari luar bidang anda yang berminat dengan kajian anda serta boleh memberi kritikan ilmiah kepada anda.

III) Implementasi kajian tindakan

Dalam buku ini, persoalan-persoalan berikut perlu dicatat (sebagai workplace report) semasa menjalankan kajian tindakan.

  • Tajuk/Soalan Kajian (research question)
  • Pengenalan / Konteks saya
  • Apakah isu yang saya ambil berat?
  • Mengapa saya mengambil berat tentang isu tersebut?
  • Bagaimana saya menambahbaik situasi yang sedia ada?
  • Siapa yang terlibat dalam kajian saya? Bagaimana mereka boleh membantu saya?
  • Apa yang telah saya pelajari?
  • Kesimpulan

IV) Penulisan laporan literatur

Dalam penulisan literatur, perkara-perkara berikut perlu ada:

  1. Abstrak
  2. Pengenalan
  3. Latar belakang kajian
  4. Konteks kajian
  5. Metodologi
  6. Pengumpulan dan penganalisisan data
  7. Hasil kajian dan signifikan
  8. Implikasi
  9. Kesimpulan

E. Pengumpulan dan Penganalisisan Data

  • Instrumen Kajian dan Teknik Pengumpulan Data

Sebelum mengumpul data, pengkaji perlu mengetahui....

  1. Apakah data yang perlu dikumpul berdasarkan soalan kajiannya.
  2. Sumber yang sesuai untuk pengumpulan data. Contohnya melalui hasil kerja dan pencapaian pelajar dalam ujian.
  3. Cara memantau amalan pengkaji mengikut masa (yang sesuai)

Setelah melakukan perkara di atas, pengkaji perlulah tahu cara mengumpul data yang dikehendaki.

Berikut adalah beberapa instrumen untuk pengumpulan data bagi tujuan merekod tindakan pengkaji...

  1. Nota lapangan - mencatat tindakan yang dilakukan dalam bentuk nota biasa, peta minda atau diagram.
  2. Lembaran rekod dan jadual pemantauan
  3. Analisis Sosiometrik

Berikut adalah beberapa instrumen untuk pengumpulan data bagi tujuan merekod pembelajaran...

  1. Penulisan akaun (written account) - contoh yang diberi dalam buku ini merupakan penulisan dalam bentuk prosa atau puisi.
  2. Diari dan buku log
  3. Borang soal selidik
  4. Tinjauan dan temubual

Pada pendapat saya, pengkaji perlu rancang masa yang mencukupi untuk pengumpulan data agar data yang dikumpul itu sesuai untuk tujuan kajian (tidak kurang atau tidak berlebihan). Selain itu, pengkaji boleh mengumpul data bukan sahaja dalam kelas, tetapi boleh juga di luar waktu P&P (seperti di taman atau di kantin). Pengkaji juga boleh mencatat refleksi di mana-mana sahaja pengkaji pergi asalkan pengkaji itu membawa buku catatan bersama. Setelah mengumpul data, pengkaji boleh menyimpan data dalam bentuk softcopy dan hardcopy. Pengkaji digalakkan menyimpan lebih daripada satu salinan sebagai backup.

  • Teknik Penganalisisan Data

Data kuantitatif boleh dianalisis dengan pelbagai perisian seperti MS Excel. Namun begitu, penganalisisan data kualitatif memerlukan masa yang lama dan penglibatan orang lain (bagi mengelakkan berlakunya bias kerana kajian tindakan adalah kajian tentang diri sendiri).

F. Etika Kajian Tindakan

Dalam buku ini, isu yang berkaitan dengan etika perlu dititikberatkan. Ini kerana kajian tindakan melibatkan orang (walaupun kajian tentang diri sendiri, tetapi juga terdapat penglibatan pelajar sekolah dan penilai/pengkritik luar). Kajian tindakan yang dilaksanakan secara besar-besaran dan memerlukan penglibatan pelajar, kebenaran daripada penjaga perlu diperoleh. Bukan itu sahaja, kebenaran daripada pihak sekolah dan jabatan tertentu juga perlu diperoleh sebelum membuat kajian.

G. Kebolehpercayaan dan Kesahan Kajian Tindakan

Dalam buku ini, kesahan boleh diperolehi melalui kritikan atau komen daripada orang lain seperti:

  1. Penyelia - Seorang penyelia yang boleh bertindak dengan memberi kritikan membina (secara ilmiah) bagi tujuan pembangunan profesionalisme pengkaji. Lazimnya, penyelia adalah pengetua sekolah tersebut (untuk guru tetap) ataupun pensyarah dari Fakulti Pendidikan (untuk guru pelatih).
  2. Rakan/ penilai yang kritikal - Pengkaji juga boleh mendapatkan kritikan ilmiah daripada rakan-rakan yang boleh terdiri daripada orang perseorangan atau kumpulan. Pengkaji perlu memberi penjelasan mengenai kajiannya kepada rakan-rakan dan mendapatkan kerjasama daripada mereka setiap kali perjumpaan. Rekod mengenai ringkasan/hasil perjumpaan perlu diletakkan tarikh, ditandatangani dan disimpan. Rakan-rakan tersebut juga perlu diberi salinan rekod tersebut sebagai bahan bukti dan rujukan.
  3. Kumpulan pengesah - Kumpulan pengesah boleh terdiri daripada 3 hingga 10 orang bergantung kepada saiz projek pengkaji. Semakin besar projek pengkaji, maka semakin ramai ahli kumpulan pengesah ini diperlukan. Rakan kritikal juga boleh dijemput menjadi ahli kumpulan ini. Namun, pengkaji digalakkan untuk mendapatkan bantuan pengesah di luar daripada lingkungan profesional sendiri yang boleh mengkritik secara ilmiah. Contohnya, mungkin pengkaji menjemput individu daripada jabatan/bidang yang berbeza, pemerhati luar yang berminat dengan kajian anda (NGO) atau komuniti perniagaan.

H. Penilaian Keseluruhan

  • Buku ini menerangkan maksud kajian tindakan secara umum. Selain bidang pendidikan, buku ini juga boleh digunakan untuk bidang sains sosial, pengajian perniagaan dan sebagainya.
  • Terdapat banyak contoh kajian tindakan dalam bilik darjah ditulis dalam buku ini. Buku ini memang sesuai dijadikan rujukan kepada pengkaji yang ingin membuat kajian tindakan terutamanya kepada guru.
  • Namun begitu, terdapat satu contoh model sahaja yang dipaparkan. Itupun tiada rujukan model tersebut adalah kepunyaan siapa. Lagi satu contoh model hanya diberitahu sahaja (model Elliot, 1991) tanpa dipaparkan.


Thursday, May 14, 2009

Tinjauan Literatur (Kuliah 4: rujukan tambahan)

Bagaimana literatur penyelidikan disediakan?
1. Mengenal pasti bidang kajian
2. Pemilihan topik kajian
3. Penentuan pendekatan dan metodologi kajian
4. Pengumpulan data / maklumat
5. Analisis, interpretasi dan penilaian data
6. Penggunaan data yang dinilai untuk penulisan laporan
7. Persembahan laporan

Apa yang hendak ditinjau daripada literatur penyelidikan?
Menurut Jerry Wellington (2004), beliau mencadangkan 10 kriteria iaitu:
  • Tajuk kajian: Adakah tepat, menarik, jelas serta ringkas?
  • Abstrak: Adakah dijelaskan sebab menjalankan kajian, cara menjalankannya, hasil utama, serta relevannya?
  • Tinjauan literatur: Adakah memberi tinjauan keseluruhan tentang bidang berkaitan? Adakah ia logik, serta melibatkan pemikiran kreatif dan kritis?
  • Rangka kerja teoritikal: Adakah ia boleh memberi maklumat kajian? Adakah ia memberi kefahaman teori sedia ada dan seterusnya membentuk secara induktif sesuatu teori/model yang baru?
  • Tujuan kajian: Adakah jelas, signifikan dan relevan?
  • Metodologi: Adakah huraian kaedah kajian sesuai dengan tujuan kajian? Adakah kaedah tersebut berkesan untuk mencapai matlamat/objektif kajian?
  • Pensampelan: Bagaimana sampel dipilih?
  • Penilaian: Adakah penilaian dibuat berdasarkan prinsip kritikan luaran dan dalaman?Adakah refleksi kendiri diamalkan atas isi kandungan dan metodologi?
  • Kesimpulan dan implikasi: Adakah kesimpulan saling berkait dengan tinjauan literatur? Apakah implikasi kajiannya yang boleh menggalakkan kajian masa depan?
  • Persembahan: Adakah laporannya ditulis dengan jelas, tepat, dan sistematik? Adakah isi kandungannya mudah difahami dan berguna untuk tujuan penyelidikan seterusnya?
Sumber: Buku Literatur dan Kaedah Penyelidikan oleh Mok Soon Sang

Tuesday, May 12, 2009

Tugasan Dr. Izham: 8 Sebab Orang Menentang Perubahan dan Cara Penyelesaiannya

Sebab-sebab...
  1. Perubahan yang berlaku terlalu cepat dan drastik (orang-orang terlibat belum benar-benar sedia)
  2. Perubahan yang tidak mengambil kira budaya, nilai dan norma masyarakat setempat
  3. Perubahan yang berlaku dalam skala yang besar (terlalu banyak yang perlu diubah)
  4. Ketidakpastian matlamat/tujuan sesuatu perubahan (untuk apa berubah?)
  5. Perubahan yang hanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja (tiada keuntungan untuk semua)
  6. Perubahan yang jelas menunjukkan impak yang negatif berbanding positif.
  7. Strategi perlaksanaan (untuk perubahan tertentu) kurang sesuai serta melibatkan kos yang terlalu tinggi
  8. Perubahan yang dirasakan kurang selamat/tergugat kedudukan istimewa seseorang

Cara penyelesaian...

  1. Masa untuk membuat perubahan perlu sesuai (bukan dalam masa yang singkat) dan perubahan perlulah beransur-ansur
  2. Aspek norma/nilai/budaya setempat perlu diambil kira sebelum membuat perubahan
  3. Jika hendak membuat perubahan berskala besar, pastikan masa yang diperlukan adalah sesuai, melibatkan ramai pihak, dan ada peruntukan kewangan yang mencukupi.
  4. Perincian tentang perubahan yang bakal dibuat perlu jelas dari segi matlamat dan objektif, strategi/langkah-langkah perlaksanaan, time frame, kumpulan sasaran, serta pihak yang terlibat dalam perlaksanaan perubahan.
  5. Beberapa penyelidikan (oleh golongan pakar) perlu dibuat sebelum melakukan perubahan
  6. Perubahan jangan hanya memberi keuntungan kepada pihak tertentu sahaja tetapi keuntungan menyeluruh (kepada semua)
  7. Sekiranya kedudukan istimewa anda dirasakan terancam atau tergugat akibat perubahan tertentu, perlu ada pelan B untuk menyelesaikannya. Contohnya, berlaku rombakan besar-besaran dalam sektor swasta di mana ramai pekerja telah dibuang/kehilangan kerja. Individu yang mempunyai pelan sampingan (back up plan) dapat menolong dirinya memulihkan kembali ekonomi diri/keluarganya.
  8. Perlu ada kerjasama daripada semua pihak dan perlu konsisten (jangan hangat-hangat tahi ayam sahaja!)

Monday, May 11, 2009

Tugasan 2: Reka bentuk Kajian Tindakan (mengikut pengkhususan)

Ahli kumpulan yang lain: Intan Nadiah dan Hafis Md Dom

Mata pelajaran : Biologi

Bidang fokus : Berkaitan dengan DNA (Inheritance dan Variation)

Masalah

Tajuk-tajuk yang berkaitan dengan DNA merupakan tajuk yang agak sukar untuk pelajar memahami dan mengingati. Oleh itu, pelajar mungkin terdorong untuk tidak berminat mempelajarinya sekiranya tiada langkah penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Penambahbaikan

Perkara yang perlu ditambahbaik ialah cara guru itu menjalankan P & P dalam kelas.

Strategi penambahbaikan

  • Gunakan ABM yang menarik, lengkap dengan ilustrasi dan peta minda
  • Gunakan Bahasa Inggeris yang mudah untuk difahami. Guru digalakkan mengajar dengan selang-selikan dengan penerangan dalam Bahasa Melayu bagi meningkatkan kefahaman pelajar.
  • Gunakan pelbagai pendekatan seperti group work, brainstorming dan sebagainya bagi mengelakkan pelajar berasa bosan dengan pendekatan kuliah sahaja.

Pengumpulan data

  • Pemerhatian ke atas para pelajar
  • Temubual dan dapatkan maklum balas daripada pelajar (bertanyakan subtopik yang dianggap susah, kefahaman pelajar)
  • Temubual dengan guru yang lebih berpengalaman (tentang kaedah mengajar yang sesuai untuk pelajar kelas berkenaan)

Pemantauan

  • Jadual kerja
  • Senarai semak keperluan/ABM
  • Rancangan pengajaran harian

Penilaian

  • Penilaian sumatif dan formatif
  • Maklum balas daripada pelajar
  • Komen/Pendapat daripada guru kanan/penolong kanan semasa penilaian/pencerapan

Jenis Model Kajian dan Terminologi dalam Kajian Literatur

Jenis model kajian dan ciri-cirinya....

Kajian Eksperimental

  • Untuk membuat perbandingan di bawah situasi terkawal
  • Kumpulan eksperimental dalam kawalan
  • Situasi dirupakan sebagai makmal
  • Untuk mengenalpasti sebab dan akibat
  • Tidak menguji nilai atau kegunaannya

Kajian Pengujian dan Penilaian / Keberkesanan

  • Untuk mengukur pencapaian, prestasi, potensi dan kebolehan individu
  • Instrumen dirancang unntuk mendapat skor-skor yang boleh diukur
  • Membolehkan perbandingan individu dan kumpulan
  • Fokus kepada kognitif, afektif dan psikomotor
  • Dilakukan oleh orang lain terhadap orang yang hendak dikajinya

Kajian Soal Selidik (Survey)

  • Untuk meninjau sesuatu idea, pandangan atau gambaran isu dan situasi secara mendalam melalui soalan-soalan selidik (questionaires)
  • Pengumpulan data untuk membuat generalisasi seperti status sosioekonomi pelajar
  • Boleh dijadikan untuk mengumpul data/input/keperluan awal untuk kajian tindakan
  • Menjanakan data statistik yang boleh dimanipulasi

Kajian Kes

  • Merupakan kajian pemeriksaan secara mendalam sesuatu situasi, subjek, bahagian dokumen, atau peristiwa khusus
  • Bertujuan untuk menganalisis dan menginterpretasikan keunikan seseorang individu dan situasi melalui keterangan yang dapat diperoleh
  • Data mendalam dan perincian daripada pelbagai sumber
  • Fokus kepada kajian yang unik

Kajian Etnografi

  • Kajian kualitatif yang mana penyelidik sendiri melibatkan diri dalam sesuatu budaya yang khusus untuk memperoleh kefahaman yang lebih baik
  • Memberi keterangan, kefahaman dan penghuraian sesuatu situasi yang spesifik
  • Penggunaan masa yang lama untuk memproses data
  • Fokus kepada persepsi dan pandangan peserta

Kajian Tindakan

  • Kajian kualitatif yang mengutamakan usaha seorang untuk menambahbaikkan sesuatu situasi, isu, atau menyelesaikan masalah yang spesifik
  • Merancang, melaksana, meninjau semula dan menilai sesuatu intervensi dengan tujuan menambahbaikkan amalan atau menyelesaikan masalah tempatan
  • Penyelidik itu sendiri ialah peserta kajian
  • Refleksi ke atas amalan
  • Menggalakkan kajian kolaboratif

Sumber: Mok, S. S. (2008) Literatur dan Kaedah Penyelidikan. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. (pp. 29-31)

Terminologi...

Membandingkan dan membezakan

  • Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur.

Menganalisis

  • Mengolah maklumat dengan menghuraikan kepada bahagian yang lebih kecil
  • Kemahiran yang kompleks dengan menggunakan beberapa ciri kemahiran berfikir
  • Kemahiran ini digunakan untuk mengenali bahagian-bahagian, memahami hubungkait antara bahagian dan mengenali prinsip yang terlibat.

Menilai

  • Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara dari segi kebaikan dan kelemahan berdasarkan bukti atau dalil yang sah
  • Kemahiran ini untuk memilih sesuatu dan menerima atau menolak sesuatu idea

Membuat kesimpulan

  • Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian berdasarkan hipotesis
  • Mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan
  • Kemahiran ini untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hipotesis, menerangkan sesuatu secara ringkas tetapi padat dan merangkumi semua point, serta meramal dan menyokong sesuatu teori yang sedia ada

Mensintesis

  • Menggabungkan idea, unsur, item dan perkara yang berasingan untuk menghasilkan sesuatu gambaran yang baru dan menyeluruh.

Pengurusan Perubahan Dalam Pendidikan

A. Konsep Perubahan dalam Pendidikan
  • Perubahan dalam pendidikan memang tidak dapat dielakkan, sama ada kita yang mengubahnya atau faktor persekitaran yang membawa kepada perubahan.
  • Pendidikan adalah dinamik bukannya statik (sentiasa ada perubahan dalam pendidikan). Warga pendidikan juga dinamik, dan perlu faham adanya perubahan dalam pendidikan. Oleh itu, warga pendidikan perlu bersedia dengan pelbagai perubahan dalam pendidikan.
  • Perubahan yang menjurus ke arah ketidakpastian mesti dielakkan kerana boleh meruntuhkan masa depan generasi muda.

B. Jenis Perubahan

  • Perubahan ke arah peningkatan

Perubahan ini memberi kesan kepada komponen-komponen tertentu dalam organisasi seperti berlakunya perubahan dalam struktur organisasi, memperkenalkan teknologi baru serta mengadakan program pembangunan staf untuk tingkatkan komitmen dan produktiviti staf.

  • Perubahan strategik organisasi

Melibatkan keseluruhan organisasi seperti mendefinisikan semula peranan organisasi, perubahan nilai teras organisasi, pembentukan semula misi, perubahan struktur dan strategi organisasi serta mendefinisi semula staf dari segi tugas, peranan, tanggungjawab dan sistem ganjaran.

  • Perubahan reaktif

Perubahan ini berlaku akibat tindak balas langsung daripada pelanggan dan pihak berkepentingan (stakeholders) . Kepekaan pelanggan dan stakeholders terhadap isu-isu persekitaran dan etika memerlukan organisasi melakukan perubahan. Perubahan dari segi prosedur dan cara layanan pelanggan hendaklah dilakukan.

  • Perubahan akibat daripada jangkaan

Perubahan dilakukan bukan disebabkan oleh desakan pelanggan tetapi kerana terdapatnya kesedaran dalam kalangan pengurusan yang perlu diadakan perubahan bagi memastikan organisasi memperoleh kebaikan kompetitif. Antara sebab perubahan ini dilakukan adalah:
- Persiapan menghadapi pesaing baru yang akan muncul.
- Persiapan terhadap kemungkinan berlakunya perubahan ke atas kehendak pelanggan.
- Penciptaan baru teknologi yang memerlukan organisasi berubah.
- Persiapan bagi menghadapi perubahan polisi kerajaan.
- Perubahan dalam trend tenaga kerja.

C. Perubahan adalah Kompleks

Lazimnya, perubahan dikaitkan dengan evolusi dan revolusi.

Evolusi: Perubahan dalam tempoh yang panjang dan menghasilkan kesan yang sedikit. Perubahan ini ketara dalam status quo.

Revolusi: Perubahan yang pantas dan memberi kesan yang membinasakan.

Complexity atau kerumitan perubahan merupakan fokus bagi mendapatkan maklumat tentang perubahan dan tindakan yang perlu diambil untuk melaksanakan perubahan.

D. Perubahan itu Multidimensi

Sebarang keputusan yang diambil untuk membuat perubahan melibatkan beberapa pertimbangan. Terdapat 6 dimensi yang berkaitan dengan perubahan yang perlu difahami:

  1. Tujuan perubahan
  2. Unit perubahan
  3. Sifat perubahan
  4. Magnitud perubahan
  5. Skop perubahan
  6. Jangka masa perubahan

E. Model-model Perubahan

Model Penggabungan Roger

Proses inovasi bermula apabila masalah atau keperluan telah dikenalpasti. Masalah atau keperluan ini mungkin berdasarkan penyelidikan keadaan semasa, kerja makmal, atau jangkaan pembangunan akan datang. Apabila masalah atau keperluan tersebut telah dikenal pasti, penyelidik akan menyiasat permasalahan itu dan bagaimana ia akan diselesaikan. Fasa ini melibatkan eksperimen dan ciptaan yang banyak, dan seterusnya menghasilkan inovasi. Rogers (1995) mengakui bahawa inovasi tidak semestinya terhasil daripada penyelidikan. Inovasi mungkin terhasil daripada amalan praktikal di mana seseortang itu akan mencari jawapan kepada permasalahan yang timbul. Perkara ini dikatakan sebagai knowing-in-action iaitu inovasi yang dihasilkan melalui pengamalan menjadi penting di dalam perubahan pendidikan.

Model Kanter

Kanter (1998) menegaskan bahawa struktur & inovasi boleh difahami dengan lebih baik jika proses inovasi dibahagikan kepada 4 tugas utama iaitu penjanaan idea, membina idea, merealisasi idea dan pemindahan idea.

Model Rand

Menurut Berman dan McLaughlin (1978), model ini berasaskan kajian yang dijalankan oleh Rand Corporation pada 1973 hingga 1978 dengan sokongan Pejabat Pendidikan Amerika Syarikat mengenai perubahan pendidikan. Tujuan utama kajian adalah untuk menentukan faktor yang menyebabkan atau menghalang perubahan pendidikan. Proses perubahan di sekolah melibatkan 3 langkah iaitu :

  1. Daya usaha ( Initiation )
  2. Implementasi
  3. Penggabungan

Model Acot

Model ini berdasarkan Projek Apple Classroom of Tomorrow ( ACOT) iaitu mengenai kajian pengenalan komputer di dalam bilik darjah. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa kehendak perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran telah berkembang secara beransur-ansur. Model ini mempunyai 5 langkah perubahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu:

  1. Kemasukan ( Entry )
  2. Memilih ( Adoption)
  3. Menyesuaikan ( Adaptation )
  4. Penggunaan ( Appropriation )
  5. Mereka cipta ( Invention )

Refleksi dan Pelan Tindakan BIG II

REFLEKSI

A. Masalah / Kelemahan
  • Saya telah mengalami kecuaian di mana saya telah ketinggalan beberapa barangan yang penting seperti buku modul BIG dan ubat resdung. Terdapat juga beberapa barangan telah tercicir semasa menjalankan aktiviti BIG seperti pen, wisel dan buku nota.
  • Semasa di kem BIG, saya menjadi seorang yang agak lambat dan kurang menepati masa. Walhal, aktiviti sebelum ini (aktiviti semasa sekolah dan degree dahulu) saya dapat bergerak pantas dan menepati masa.
  • Saya mengalami kekurangan stamina ketika mendaki bukit semasa aktiviti Jungle Tracking.
  • Saya mempunyai rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi.
  • Saya juga mempunyai sifat yang agak kelam-kabut.


B. Penambahbaikan

  • Saya perlu berhati-hati ketika menguruskan barangan saya.
  • Saya juga perlu menguruskan masa dengan betul dan bergerak pantas ketika membuat sesuatu perkara.
  • Saya perlu membuat persediaan dari segi fizikal terutamanya menguatkan stamina pada kaki.
  • Saya juga perlu menghilangkan atau mengurangkan rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi.
  • Saya perlu mengawal sifat kelam-kabut saya agar apa yang saya lakukan itu kelihatan terurus.


PELAN TINDAKAN

A. Matlamat

Membina sahsiah dan etika keguruan di mana kesepaduan unsur jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dapat diwujudkan .

B. Objektif

  • Menguruskan barangan dan keperluan dengan baik
  • Menguruskan masa dengan betul dan teratur
  • Membuat persediaan fizikal sebelum ke mana-mana program atau aktiviti terutamanya aktiviti yang lasak
  • Meningkatkan keyakinan diri dan menghilangkan rasa gayat apabila berada di tempat yang tinggi
  • Memupuk sifat sabar dan tenang dalam diri


C. Langkah-langkah

  • Saya telah menyenaraikan dengan lengkap barang-barang yang perlu dibawa. Akan tetapi, saya hanya menyemak sekali sahaja. Oleh itu, sebagai strategi bagi mengatasi masalah ini, saya perlu menyemak berulang kali agar tiada barangan yang tertinggal. Saya juga perlu lebih berhati-hati dan menjaga barangan saya dengan baik agar tidak tercicir lagi. Sikap cuai ini perlu dikikis dalam diri saya.
  • Saya juga perlu sentiasa memakai jam agar saya dapat bergerak pantas dan menepati masa. Semasa BIG, saya jarang memakai jam kerana dikhuatiri jam rosak. Akibatnya, banyak perkara saya kelewatan.
  • Saya perlu berjoging sekeliling kolej Zaaba sebelum pergi BIG lagi agar stamina dapat dipertingkatkan. Selepas BIG ini, saya kerap berjalan kaki ke fakulti sebagai senaman pagi.
  • Saya telah menawarkan diri sebagai peserta pertama dalam aktiviti abseiling bagi menghilangkan rasa gayat. Bagi saya, lagi lama di puncak bukit itu, lagi berdebar dan rasa takut itu semakin memuncak. Namun, saya tetap yakin dengan pensyarah dan tali yang mengawal saya semasa turun dari atas bukit itu.
  • Saya perlu menenangkan diri sebelum melakukan sesuatu perkara. Saya juga merancang betul-betul dan tidak bertangguh kerja agar tidak kelam-kabut kelak.

D. Pengumpulan Data

  • Komen dan pendapat daripada kawan rapat, kawan sebilik dan ahli keluarga
  • Ujian personaliti
  • Kajian perpustakaan – membaca buku motivasi

E. Pemantauan

  • Meminta teman rapat, kawan-kawan dan kawan sebilik memantau perkembangan diri saya
  • Sentiasa membuat peringatan dan dilekatkan di board dalam bilik
  • Sentiasa membuat muhasabah diri sebelum tidur agar mengenalpasti sama ada terdapat perubahan sikap pada diri atau tidak


F. Penilaian

  • Meminta teman rapat, kawan-kawan dan kawan sebilik memberi komen dan penilaian selepas sebulan artikel ini ditulis
  • Penilaian sekali lagi dibuat selepas setiap satu bulan bagi memastikan berlakunya perubahan dan pengukuhan tingkah laku
  • Melihat sama ada berlaku peningkatan tingkah laku ke arah lebih baik semasa melakukan aktiviti seterusnya seperti RDK, Perkhemahan Agung Sukres dan Kem Bina Negara

KESEPADUAN UNSUR JERIS

1. Jasmani

Banyak aktiviti dalam BIG ini memerlukan pergerakan yang agak mencabar seperti mendaki dan menuruni bukit yang agak curam, berkayak sampai ke pulau, berenang snorkeling sambil melihat ikan-ikan, dan berjalan kaki semasa explorasi. Sebelum memulakan sebarang aktiviti, kami semua ada membuat senaman memanaskan badan (stretching) dan menyejukkan badan (cooling down) selepas membuat aktiviti bagi mengelakkan kecederaan pada otot. Aktiviti-aktiviti seumpama ini mengeluarkan banyak peluh dan seterusnya dapat menyihatkan badan.

2. Emosi

Banyak aktiviti yang dibuat agak meletihkan walaupun aktiviti itu hanyalah Pengurusan Tapak Khemah (Camp Site Management). Keadaan letih selalunya emosi akan terganggu dan menjadi kurang sabar. Saya berasa sangat letih dan agak tertekan kerana fasilitator yang mengiringi kami, memanjat bukit agak laju berbanding dengan kami yang tercungap-cungap kekurangan oksigen. Begitu juga melihat kawan-kawan yang mempunyai kekuatan tangan dan stamina yang tinggi ketika berkayak. Namun begitu, saya berjaya mengawal emosi kami dan melakukan semua aktiviti dengan penuh kesabaran.

3. Rohani

Semua aktiviti memupuk semangat kerjasama dan kekitaan antara satu sama lain. Keletihan saya hilang apabila melihat ikan berenang-renang semasa snorkeling serta keindahan flora dan fauna yang terdapat di Pangkor. Saya berasa kagum dan penuh kesyukuran dan keinsafan melihat alam ciptaan Allah S.W.T. Selain itu, semasa aktiviti Night Camp membuktikan lagi kekuasaan Allah melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Segala godaan syaitan dan iblis ditepis dengan bacaan ayat Kursi dan pelbagai surah dalam Al-Quran. Aktiviti seumpama ini menguatkan lagi kepercayaan dan keimanan kepada Allah.

4. Intelek

Aktiviti-aktiviti BIG juga mengajar saya berfikiran kritis dan kreatif dalam penyelesaian pelbagai masalah. Untuk membentuk individu yang berfikiran kritis dalam diri saya, saya telah merancang pelbagai strategi bagi melicinkan pengurusan masa dan pengurusan aktiviti sepanjang BIG lalu. Kekreatifan dalam diri saya juga dapat dipertingkatkan terutama semasa LDK dan Night Camp (membuat kraftangan daripada daun).

5. Sosial

Aktiviti-aktiviti BIG ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran komunikasi interpersonal, bahkan juga mewujudkan lagi kemesraan antara satu sama lain. Walaupun saya agak rapat dengan ahli-ahli kumpulan yang lain namun pergaulan kami ini masih tidak melanggari batasan agama.


KESIMPULAN

Dengan penuh kesyukuran kepada Allah, tidak terdapat kesilapan dan masalah yang serius. Berkat pertolongan para pensyarah dan rakan-rakan BIG B yang lain membuatkan pengurusan jawatankuasa ini berjalan lancar. Jutaan penghargaan kepada semua atas penganugerahan Peserta Terbaik BIG (perempuan) kepada saya. Sesungguhnya semua ini memberi pengalaman yang amat berharga kepada saya. Segala kesilapan dan masalah yang telah berlaku menjadi pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati kelak

Jenis-jenis dan Contoh Kajian Tindakan

Menurut Ferrance (2000), kajian tindakan terbahagi kepada 4 jenis iaitu:

Kajian tindakan individu

  • Memfokuskan kepada isu-isu dalam kelas.
  • Mencari penyelesaian kepada permasalahan seperti pengurusan bilik darjah, strategi pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, dan pembelajaran pelajar.
  • Contohnya isu pelajar mengantuk dalam kelas sewaktu subjek Sejarah.
  • Melibatkan pengumpulan data dan pemerhatian terhadap penglibatan pelajar dalam kelas.
  • Guru yang membuat kajian ini tidak akan berkongsi dengan orang lain sehinggalah beliau benar-benar yakin dengan hasil kajian beliau dan memilih untuk persembahkan kepada umum.
Kajian tindakan kolaboratif

  • Melibatkan dua atau lebih guru yang berminat terhadap permasalahan dalam kelas.
  • Melibatkan satu kelas atau banyak kelas yang mempunyai masalah yang sama.
  • Contohnya isu kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar; oleh itu, beberapa guru daripada Panitia Bahasa Inggeris mencari jalan untuk meningkatkan penguasaan pelajar tersebut.
  • Adakalanya diberi sokongan oleh organisasi luar sekolah seperti pihak PPD.
Kajian tindakan sekolah

  • Memfokuskan kepada isu sekolah (bukan bilik darjah)
  • Contohnya isu kurangnya penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah; oleh itu, pihak sekolah mencari jalan menarik minat ibu bapa supaya terlibat dalam aktiviti di sekolah.
  • Melibatkan semua warga sekolah terutamanya Kelab Guru dan Kakitangan serta PIBG dalam mencari perancangan tindakan (plan of action)

Kajian tindakan daerah

  • Kajian ini lebih kompleks
  • Memerlukan banyak perbelanjaan dan komitmen daripada ramai guru
  • Isu-isu melibatkan pengurusan organisasi, kajian berasaskan komuniti, kajian berasaskan pencapaian dalam peperiksaan dan juga proses pemilihan keputusan tentang satu masalah yang melibatkan beberapa buah sekolah dalam satu daerah.
  • Contohnya, untuk memantapkan lagi penglibatan pelajar Tingkatan 5 di Daerah Kinta dalam aktiviti kokurikulum sebagai persediaan ke IPT

sumber: http://www.alliance.brown.edu/pubs/themes_ed/act_research.pdf

What is Action Research?

Action research is a process in which participants examine their own educational practice systematically and carefully, using the techniques of research. It is based on the following assumptions:
  • Teachers and principals work best on problems they have identified for themselves
  • Teachers and principals become more effective when encouraged to examine and assess their own work and then consider ways of working differently
  • Teachers and principals help each other by working collaboratively
  • Working with colleagues helps teachers and principals in their professional development
    (Watts, 1985)


source: http://www.alliance.brown.edu/pubs/themes_ed/act_research.pdf

Konsep Kajian Tindakan

Menurut Jean McNiff dalam nota seminar beliau, kajian tindakan bertujuan untuk:

  • meningkatkan kemahiran penyelidik tentang sesuatu perkara
  • membina teori baru dalam proses penambahbaikan
  • menguji kesahihan bagi memastikan sama ada penambahbaikan telah dilakukan atau tidak

Kajian tindakan merupakan kajian yang dilakukan dari perspektif orang dalam (insider perspective) di mana penyelidik itu sendiri terlibat sebagai bahan kajian dalam kajian yang hendak dilaksanakannya. Ini bermaksud, penyelidik melihat kebolehan dirinya untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Pelbagai persoalan timbul tentang diri sendiri:

  • Adakah apa yang saya lakukan ini adalah betul?

  • Sejauh manakah kefahaman saya tentang sesuatu perkara, supaya saya dapat bertanggungjawab atas tindakan yang saya lakukan?

Dari perspektif pendidikan, lazimnya kajian dibuat lebih menjurus ke arah menambahbaikan strategi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar tentang sesuatu perkara.

Reka bentuk Kajian Tindakan

1. Contoh kitaran dalam reka bentuk Kajian Tindakan secara asasnya (McNiff,2002).














2. Contoh rekabentuk dalam Kajian Tindakan oleh Carr & Kemmis (1986)